Pengangkutan Awam Yang Lebih Selamat Ogos 28, 2007
Posted by Ahmad Badri Alwi in Uncategorized.add a comment
Cadangan Saya,
- Sesebuah syarikat perkapalan perlu melantik seoarang eksekutif sebagai designated person ashore (DPA) yang dipertanggungjawabkan dan akan dihubungi apabila sesebuah kapal mengalami kemalangan, masalah mahupun diserang lanun. Jadi, bagi setiap bas mahupun kumpulan bas, seorang eksekutif perlu bertanggungjawab di atas semula urusan bas berkenaan terutamanya membabitkan keselamatan. Antaranya, ditahan sekiranya bas tersebut diberikan waran tangkap, memantau disiplin pemandu dan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membabitkan sesebuah bas. Nama dan nombor telefon pegawai ini perlulah dipamerkan di dalam bas.
- Mempamerkan nama dan foto pemandu bas yang sedang bertugas.
- Melengkapkan setiap bas dengan meter kelajuan yang turut dapat dilihat oleh penumpang.
- Sistem penggera yang diaktif secara automatik apabila sesebuah bas dipandu melebihi had laju yang dibenarkan. Penggera itu mestilah boleh didengari penumpang.
- Mendidik penumpang supaya berani menegur pemandu yang memandu secara berbahaya dan melebihi had laju.
- Penumpang secara terus menghubungi polis sekiranya bas dipandu laju dan berbahaya.
- Membaca doa sebelum perjalanan dimulakan.
Merujuk kepada beberapa siri kemalangan ngeri melibatkan bas akhir-akhir ini, saya mencadangkan agar penumpang yang terlibat, selain menyaman pihak pengusaha bas, hendaklah turut sama menyaman pihak berkuasa seperti polis trafik, JPJ dan LPKP kerana kegagalan pihak-pihak ini menjalankan tugas penguatkuasa dengan baik sehingga ‘membenarkan’ kejadian ini berlaku.
Pamerkan semangat kelas 1 Ogos 12, 2007
Posted by Ahmad Badri Alwi in Uncategorized.add a comment
Hujung minggu lalu, saya berkesempatan mengikuti kejohanan futsal varsiti anjuran akhbar kotemporari KOSMO bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Nasib tidak menyebelahi kami, saya dan rakan-rakan tewas pada hari pertama. Namun, atas semangat kesukanan yang tinggi, kami masih lagi turut serta pada hari kedua untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan lain.
Walau bagaimanapun, satu peristiwa yang mencacatkan kejohanan telah berlaku akibat mentaliti kelas ketiga sebahagian kecil penyokong dan pemain, yang pada hemat saya mungkin penduduk tempatan. Kami mulanya berjalan-jalan meninjau permainan yang lesu, lalu kami turut serta di khemah penyokong untuk sama-sama bersorak kepada pasukan yang menjadi pilihan kami. Ketika itu, berlangsung satu perlawanan antara wakil sebuah universiti di Selangor dan satu lagi adalah pasukan pemain tempatan.
Malangnya, niat kami untuk menghidupkan suasana terbantut apabila kami ditegur dengan keras, diugut untuk dipukul dengan kerusi oleh penyokong pasukan tempatan, semata-mata kerana kami menyokong satu pasukan yang datang dari luar kawasan, walaupun mereka mempamerkan permainan yang lebih bagus. Selepas itu, berlaku sedikit perselisihan faham antara pemain dalam gelanggang, dan tanpa mempamerkan semangat di tempat yang betul, penyokong pasukan tempatan itu terus meluru ke dalam gelanggang lalu mengwujudkan suasana tegang.
Alhamdulillah, pegawai-pegawai pertandingan dan penganjur dapat mengawal suasana. Namun, apabila tamat permainan, pergaduhan kecil berlaku lagi membabitkan individu yang sama, dan sekali lagi disuraikan. Jadi, kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja tanpa menunggu sehingga penghujung kejohanan.
Pada pendapat saya, semangat penyokong ditunjukkan di tempat yang salah, dan mempamerkan mentaliti kelas ketiga, yang tidak sepatutnya wujud lagi. Bersama-sama mewujudkan perpaduan melalui sukan!
Pengorbanan Semasa Aman Ogos 9, 2007
Posted by Ahmad Badri Alwi in Uncategorized.add a comment
Pertamanya saya menyampaikan ucapan takziah buat keluarga mendiang K Yogeswaran, perajurit TUDM yang meninggal dunia semasa mengikuti Kursus Asas Pasukan Khas Udara (PASKAU).
Inilah risiko yang terus-menerus dihadapi oleh perajurit negara semasa menjalani latihan. Latihan berprestasi tinggi sentiasa mendedahkan mereka dengan risiko kecederaan dan kematian. Saya percaya ini bukanlah kes pertama yang berlaku, dan ramai lagi anggota tentera kita yang maut atau pun cedera dan mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan semasa latihan, namun tidak dapat dikesan media.
Bagi pihak tentera dan anggotanya, saya pasti pelbagai langkah sewajarnya telah dilaksanakan, namun kejadian yang tidak diingini ini terus berlaku. Mungkin dalam istilah keselamatan pekerjaan, ini boleh dipanggil sebagai occupational hazard.
Merekalah rakyat yang telah memilih untuk berkhidmat bagi rakyat. Tanggungjawab semasa mereka ketika ini ialah berlatih untuk berperang, dan ada di antara mereka terkorban ketika latihan. Inilah sumpah taat setia mereka yang tidak berbelah bagi.
Akademi Laut Malaysia : Pandangan Saya Ogos 7, 2007
Posted by Ahmad Badri Alwi in Uncategorized.5 comments
Menjejakkan kaki ke Akademi laut Malaysia (ALAM) pada Julai 2004 merupakan antara titik-titik penting yang mencatatkan pelbagai peristiwa dalam perjalanan hidup saya. Suka dan duka. Maka karangan ini akan membincangkan buah pandangan saya – baik dan buruk, sebuah institusi yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara, dan dikenali seluruh pelusuk rakyatnya.
Sebelum melangkah lebih dalam lagi, soal perbincangan saya lebih tertumpu kepada kampus ALAM di Terengganu khasnya, kemudian baru menjenguk ke kampus utama di Melaka jika ada kaitannya.
Atas sebab-sebab keselamatan berkaitan etika dan undang-undang dalam penulisan dan penerbitan blog, saya telah dinasihatkan untuk menarik balik semua kenyataan yang telah dibuat dalam blog ini.
Oleh yang demikian, mana-mana individu yang berhajat mendapatkan pandangan saya sebelum membuat keputusan melanjutkan pelajaran ke institusi tersebut, sila hubungi saya secara peribadi melalui alamat emel di ruangan about.
Sila nyatakan soalan-soalan anda secara terperinci. Mohon maaf atas segala kesulitan. Terima kasih.
Akan bersambung…. Sambungan di sini