Revisi Perisikan, SOP, dan Logistik PDRM – Sekadar Ringkasan Oktober 31, 2007
Posted by Ahmad Badri Alwi in Uncategorized.add a comment
Kejadian tembak-menembak antara polis dan pengedar dadah yang membawa kepada kematian dua anggota dan mencederakan dua pegawai menjadi revisi baru dalam pasukan polis dan masyarakat. Masyarakat semakin sedar bahawa tugas sang saka biru itu semakin berbahaya dan menggalangkan nyawa mereka, dan bagi pasukan polis pula membawa satu revisi terhadap kemampuan logistik, perisikan dan operasi mereka.
Revisi terhadap perihal operasi dan kemampuan perisikan PDRM harus direncanakan, kerana umum pasti dapat membuat kesimpulan mengenai kegagalan serbuan pihak polis yang membawa kepada kematian anggotanya adalah disebabkan kelemahan risikan. Tidak perlu bekas pengarah perisikan PDRM membuat ulasan, ahli mesyuarat kedai kopi pun sudah dapat mengagak bahawa polis membuat serbuan mungkin atas laporan penagihan dadah ataupun pengedaran kecil-kecilan, sebaliknya mereka terus disambut oleh dalang besarnya. Tidak kurang jua yang membuat andaian penjenayah sengaja memerangkap polis.
Peristiwa ini jelas menunjukkan cabaran yang lebih hebat kepada pasukan polis. Penjenayah semakin berani, berbahaya dan sudah sampai peringkat mencabar pihak polis. Mereka juga semakin berani menggunakan senjata api, seolah-olah tidak takut terhadap penalty mandatory kesalahan penggunaan senjata api. Oleh itu, revisi terhadap prosedur operasi polis, serta peningkatan kekuatan dan daya efektif perisikan PDRM harus dipertingkatkan seboleh mungkin, kerana perisikan merupakan kaedah terbaik pencegahan jenayah, manakala keberkesanan operasi sedikit-sebanyak melemahkan moral penjenayah.
Selain menimbulkan kegusaran mengenai kemampuan polis menghidu gerak geri jenayah mereka, penjenayah akan menjadi lebih tidak terurus jika perisikan pihak polis mampu untuk membuatkan penjenayah merasakan wujud orang polis dalam kumpulan mereka. Mungkin Nampak mudah seperti drama televisyen, tapi saya yakin dengan kemampuan PDRM.
Hubungan professional lebih erat perlu diwujudkan dengan agensi penguatkuasa lain, selain mengharapkan sokongan masyarakat. Penglibatan personel-personel perisikan tentera sepatutnya digembleng ke arah usaha ini. Tidak sekali-kali membelakangkan perlembagaan dengan penglibatan tentera, sebaliknya mereka adalah asset penting yang berkemampuan menyumbang kepada keselamatan dalam negeri.
Berbalik kepada soal logistik, Perdana Menteri terus mengumumkan peruntukan segera RM 150 juta untuk menambahbaik kelengkapan pasukan polis, manakala Ketua Polis Negara lantas membuat kenyataan mengenai hasrat perolehan segera 2000 ves kalis peluru untuk anggota mereka, terutamanya unit peronda, jabatan narkotik, dan jabatan siasatan jenayah. Namun jika dilihat kepada rekod sebelum ini, pembangunan kelengkapan pasukan polis bukanlah tidak dilakukan, tapi saya membuat kesimpulan awal sebagai gagal dan salah urus.
Lihat sajalah kepada projek membekalkan anggota terutamanya unit peronda dengan T-Baton beserta latihannya, telah dicanangkan kepada media tetapi berapa kerat sahaja anggota yang dilihat memakainya. Penjenayah mungkin telah membuat analisis tentang kemampuan peralatan pihak polis, dan mereka telah bersedia dengan kelengkapan lebih baik umpama pasukan khas. Jangan sampai suatu masa nanti, Malaysia akan menjadi seperti drama-drama polis-penjahat zaman 80-an yang mana penjenayah mempunyai kelengkapan lebih canggih berbanding pasukan polis.
Kegagalan perolehan T-Baton itu mungkin ada masalah lain bagi pihak polis, tetapi jelas menunjukkan fenomena sudah terhantuk, baru terngadah. Akibat kematian anggota, dengan segera membuat perolehan pukal ves kalis peluru, mungkin suatu masa nanti apabila revolver polis tidak dapat menyaingi kemampuan kuasa tembak penjenayah, akan ada pula perolehan kecemasan untuk pistol automatic canggih pula.
Perolehan kelengkapan pasukan polis sepatutnya sentiasa berterusan, dengan sokongan kajian saintifik dan pembangunan penyelidikan, sepertimana STRIDE mengkaji keperluan dan pembangunan kelengkapan tentera. Perolehan berterusan pada skala berpatutan akan menjamin mutu dan mengawal harga.
Saya mencadangkan, sebagai langkah segera untuk menjaga keselamatan anggota polis, PDRM mungkin boleh meminjam asset kalis peluru dalam inventori pasukan khas ATM, kerana saya percaya kesesuaian pada keperluan dan kehendak segera PDRM.
Walaubagaimanapun, syabas kepada PDRM dalam tugas menjaga ketenteraman dalam negeri. Sememangnya tiada siapa yang dapat berpuas hati dengan penguatkuasa undang-undang, dan tiada penguatkuasa yang dapat berkhidmat dengan sempurna. Bersihkanlah imej sang saka biru daripada sampah rasuah, bukannya berbalah tentang legasi siapa penyakit itu.