Semakin Lama, Kita Terus Menjauh… April 26, 2009
Posted by Ahmad Badri Alwi in Uncategorized.add a comment

Assalamualaykum w.b.t. & salam sejahtera,
Rakan dan taulan Palestin,
Kesempatan hari Ahad ini, saya mengunjungi beberapa laman web berita arus perdana tempatan berbahasa Melayu. Tujuannya untuk menilai sejauh mana sokongan berterusan kita terhadap Palestin. Selagi lagi saya tekankan, Palestin bukanlah krisis kemanusiaan semata-mata, bukan juga perang antara 2 negara sahaja, mahupun tragedi penjajahan yang berterusan. Bagi orang-orang Islam yang ambil tahu, Palestin adalah ujian buat kita.
Saya mengharapkan agar pagi esok Israel memerangi Palestin khususnya Gaza secara besar-besaran. Mengapa? Saya gila perang? Saya mahu HAMAS berkubur? SAya mahu semua penduduk Gaza mati dan buminya jadi habuk?
Tidak.
Saya inginkan masyarakat Malaysia dan dunia memberi tumpuan sepenuhnya kepada Palestin. Mengapa tumpuan hanya perlu ketika berlaku serangan besar-besaran? Selepas itu kita memenuhi jalanan menyatakan bantahan. Kita tubuhkan tabung itu dan ini untuk membelikan sedikit makanan buat sahabat kita di sana. Kita berdoa dan bersolat hajat pohonkan kedamaian buat saudara kita di sana.
Sebulan selepas tamat perang, daripada 100 saf yang berdoa tinggal 1 atau 2. Selepas itu tiada lagi derma dihantar. Lama selepas itu lagi, tiada pun orang yang bersuara. Malangnya kita, malangnya Palestin.
Saya menjenguk ke akhbar-akhbar terbabit dan tiada lagi banner tentang peritiwa Palestin. Tiada lagi pautan khas untuk menderma ke Palestin? Sudah lupakah kita?
Marilah bermuhasabah diri.
Dulu Hingga Kini, Masalah Tetap Sama April 5, 2009
Posted by Ahmad Badri Alwi in Uncategorized.42 comments
Saya merujuk kepada satu laporan berita daripada laman web BERNAMA bertajuk; Penyeludup Semakin Agresif, PGM perlu alat keselamatan khas.
PGM adalah Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia. Tiada maklumat lanjut mengenai PGM dalam laman web PDRM melainkan pasukan ini dikenali sebagai cawangan marin di bawah jabatan keselamatan dalam negeri / ketenteraman awam. PGM merupakan penguatkuasa perairan bagi kawasan pantai sehingga jarak 12 batu nautika daripada pantai sebelum kewujudan Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM). Ketika ini, saya tidak dapat memastikan berlaku pertindihan tugas, ataupun PGM mempunyai tugas-tugas tertentu di perairan pelabuhan dan sempadan sungai.
Isunya besar dan banyak, bukan sahaja mengenai kewujudan PGM, APMM, juga mengenai isu logistik dan perancangan masa depan penguatkuasa undang-undang negara. Sebelum itu, mohon maaf kepada anggota dan pesara PGM, karangan ini bukan bertujuan untuk menidakkan jasa, kemahiran dan kemampuan PGM menangani jenayah dan menjaga keselamatan perairan, cuma buah pandangan ke arah mewujudkan budaya penguatkuasaan cemerlang.
Sebelum ini saya pernah menulis beberapa cadangan tentang PDRM setelah satu insiden membabitkan kecederaan dan kematian anggota dan pegawai PDRM. Kini, isunya berlainan, tetapi masalah yang sama diutarakan. PGM dalam laporan berita berkenaan menyebut beberapa peralatan yang diperlukan bagi menjamin keselamatan anggota mereka ketika bertugas. Bagi saya, peralatan tersebut adalah keperluan kritikal.
Peralatan tersebut sepatutnya menjadi keutamaan paling penting untuk disediakan kepada setiap anggota dan pegawai yang bertugas, kerana pada sebilang masa keselamatan mereka menjadi taruhan. Peralatan lengkap akan menaikkan moral anggota untuk bertugas dengan penuh berani dan efisyen. Peralatan lengkap juga sedikit sebanyak menurunkan moral musuh.
Saya sudah mengikuti tiga cubaan untuk ‘merevolusikan’ penampilan dan peralatan anggota polis. Pertama, pembekalan T-Baton untuk anggota terutamanya unit peronda dan cegah jenayah. Mungkin sudah diimplementasikan, namun tidak semua anggota tersebut dilihat memakainya. Kedua, pembekalan anak baju kalis peluru/tikaman. Isu PGM ini tidak akan wujud sekiranya logistik PDRM telah mengambil langkah menyeluruh dengan mengenalpasti ancaman yang memerlukan anggotanya memakai anak baju tersebut. Jangan bertindak setelah terhantuk, sebaliknya jangkakan ancaman masa depan.
Ketiga, uniform baru anggota yang bertugas di medan. Uniform baru itu membuang semua ‘besi-besi’ dan perhiasan kebanggaan pada uniform pasukan polis. Cukuplah dengan uniform yang ringan dan mudah, serta cukup selesa untuk tangkas bertindak. Simpan sahajalah perhiasan kebanggaan yang ada untuk dipakai semasa perbarisan sahaja. Namun, buat masa ini, uniform lama masih dilihat dipakai anggota polis, mungkin penggantian berlaku secara beperingkat kerana melibatkan kos yang tinggi.
Berkenaan APMM dan PGM, sudah sampai masanya PGM dibubarkan dan semua anggotanya diserap ke dalam unit-unit kritikal PDRM dalam usaha mengekang jenayah. Selaras dengan cadangan ahli parlimen Shah Alam, jumlah anggota polis yang ditempatkan di sesuatu kawasan janganlah berdasarkan statistik jenayah, sebaliknya berdasarkan nisbah anggota polis kepada penduduk. Nisbah yang sesuai akan dapat memastikan tugas-tugas pencegahan berjalan lancar, bukannya melambakkan anggota hanya untuk mengekang jenayah selepas kadarnya meningkat.
Khususkan tugasan menjaga perairan kepada APMM. Sediakan kemudahan, tauliahkan lagi vessel-vessel untuk APMM, bangunkan APMM sebaik mungkin supaya mempunyai kuku dan taring yang cukup ampuh untuk mengawal perairan tanahair. APMM perlu juga membangun sebagai angkatan laut kecil yang boleh menjaga keseluruhan perairan dari Selat Melaka ke Laut China Selatan hingga ke Laut Sulu. Biarlah Tentera Laut Diraja Malaysia memberi tumpuan untuk benar-benar menjadi angkatan samudera di lautan lepas.
Seperkara lagi, ambillah contoh daripada beberapa negara lain dengan mewujudkan agensi khas untuk menjaga sempadan. Tidak perlu menggunakan anggota polis untuk menjaga sempadan, cukuplah polis memberi tumpuan untuk tugas mereka yang hakiki. Perbesarkan dan maksimumkan kemampuan Rejimen Sempadan untuk bertugas menjaga sempadan negara di utara dan selatan, timur dan barat.
Tingkatkan integriti dalam penguatkuasaan. Penggunaan sumber negara untuk tugas keselamatan dan penguatkuasaan mestilah benar-benar dimaksimumkan. Elakkan pertindihan tugas. Ke arah budaya penguatkuasaan cemerlang!
Allahyarham Rezuan Shaari (EC 20) April 1, 2009
Posted by Ahmad Badri Alwi in Uncategorized.add a comment
Assalamualaykum w.b.t. & salam sejahtera.
Perhatian buat sahabat-sahabat bekas pegawai 20th Echo Charlie dan 4th Echo Charlie Hotel, dimaklumkan bahawa seorang sahabat kita telah kembali ke rahmatullah akaibat kemalangan jalan raya pada 28 Mac 2009.
Berita sedih ini saya ketahui melalui laman komuniti Friendster, namun telah disahkan melalui panggilan telefon ke kediaman Allahyarham. Marilah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah buat roh Allahyarham, moga-moga beliau ditempatkan di kalangan orang beriman, diampunkan segala dosa, dan mendapatkan keselesaan di alam yang satu lagi.
Bagi sesiapa yang berhajat menyampaikan rasa takziah kepada keluarga Allahyarham, bolehlah menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat lanjut. Sekian, terima kasih.