Nota September 10, 2009
Posted by Ahmad Badri Alwi in Hal Ehwal Islam.add a comment
Daripada tazkirah semasa terawih semalam, yang berkisarkan cara-cara membina ketakwaan kepada Allah.
Saya hanya sempat mencatat beberapa cara sahaja.
- Mendenda diri sendiri atas segala kesalahan dan kelalaian. Ini dilakukan untuk mengajar diri agar lebih berwaspada pada masa akan datang agar tidak mengulangi kesalahan dan kelalaian yang sama. Dikisahkan selepas berakhirnya perang tabuk, Allah S.W.T memerintahkan agar dipulaukan sahabat-sahabat dan mereka yang tidak turut serta dalam perang tersebut sebagai memberi pengajaran megenai kepentingan menyahut seruan berjihad. Lantas mereka yang tidak turut serta dalam perang tersebut berebut-rebut mengunjungi Rasulullah untuk meminta maaf. Mereka juga mengambil keputusan sendiri untuk mengikat diri dalam masjid Nabawi sebagai tanda kekesalan.
- Selain itu, terdapat kisah perkelahian antara dua sahabat, Abu Dzar al-Ghifari dan Bilal bin Rabah yang menyaksikan Abu Dzar telah memaki dan mencela Bilal. Maka Bilal pun datang mengadu kepada Rasulullah perihal Abu Dzar yang mencelanya. Rasulullah pun bertemu Abu Dzar dan menyatakan kekecewaan tentang apa yang telah dilakukan Abu Dzar. Seraya itu, tanpa disuruh oleh Rasulullah atau oleh sesiapun, Abu Dzar lantas berbaring dan meletakkan sebelah mukanya di atas pasir dan berkata, beliau tidak akan bangun selagi Bilal tidak memijak bahagian lain mukanya itu. Abu Dzar berbuat demikian untuk mendenda dirinya dan menghilangkan sifat mencela orang lain.
- Satu kisah lagi yang diceritakan ialah seoarang sahabat yang terlepas solat berjemaah di masjid. Akibat kekesalannya, beliau pulang ke rumah dan bersembahyang sebanyak 27 kali untuk menghukum dirinya yang lalai untuk solat berjemaah.
- Bermuhasabah diri. Ambillah masa untuk bermuhasabah diri tentang apa yang kita lakukan seharian. Pastikan hari esok adalah lebih baik daripada hari ini dan jangan ulangi kesalahan dan kelalaian yang dilakukan hari ini sebaliknya tingkatkan lagi amal kebajikan dan ibadat.
- Mengingati mati. Rutin ini akan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Dengan mengingati mati, kita akan sentiasa mengelakkan diri dari melakukan maksiat dan akan pula berusaha keras untuk menambah ibadat.
Berkenaan topik mengingati mati, diingatkan juga kepada jemaah agar berusaha mengelakkan diri daripada berhutang. Amalan berhutang jelas tidak memerdekakan diri kita. Diceritakan tentang seorang sahabat yang gugur syahid, tetapi kemasukannya ke syurga ditangguhkan kerana sahabat tersebut berhutang. Sahabat berkenaan hanya dapat masuk ke syurga setelah seorang sahabat lain bersetuju untuk menanggung hutangnya.
Selain itu, amalan berhutang juga seringkali dikaitkan dengan riba’. Sistem riba’ yang terhasil dalam sistem kewangan barat diibaratkan sebagai satu cara penjajahan kepada sesebuah negara ataupun individu. Apabila seseorang berhutang, mereka perlu bekerja untuk membayar kembali hutang-hutangnya. Jadi, bila terdapat panggilan jihad yang berkehendakkan individu tersebut membelanjakan harta dan masanya, akan terdapat alasan kerana masanya tidak boleh diganggu lantaran keperluan bekerja untuk membayar hutang, dan hartanya dikedekutkan kerana perkara yang sama.
Oleh itu, sentiasalah berusaha mengelakkan diri daripada berhutang dan berhasratlah untuk menyelesaikan hutang dengan segera.
Insyallah, berkongsilah ilmu walaupun sepotong ayat.
Nota September 8, 2009
Posted by Ahmad Badri Alwi in Hal Ehwal Islam.add a comment
Assalamualaykum w.b.t. & salam sejahtera,
Berkongsi sedikit ilmu yang diperolehi dalam tazkirah ketika terawih tadi.
Pada suatu pagi sesudah solat Subuh, Rasulullah S.A.W berpaling ke arah makmum seraya bertanya, siapakah antara kamu semua yang pada hari ini telah bersedekah dan menziarahi orang sakit. Tiada seorang pun sahabat yang menjawab kecuali Saidina Abu Bakar.
Lantas Rasulullah menerangkan, inilah contoh orang yang sentiasa berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan. Lihatlah apa yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar, sebelum subuh lagi beliau telahpun menziarahi orang sakit dan bersedekah.
Ganjaran bagi orang yang berlumba-lumba melakukan kebaikan adalah mereka akan sentiasa rapat dengan Rasulullah di akhirat kelak. Insyallah.
Oleh itu, mari kita mulakan seawal subuh esok untuk berlumba-lumba berbuat kebaikan. Mungkin sukar untuk menziarahi orang sakit pada waktu subuh, tapi bagaimana jika esok, sebaik kita melangkah masuk ke surau/masjid untuk fardu subuh, ringankanlah kaki melangkah ke tabung yang ada, dan kemudian ringankanlah tangan untuk menghulurkan sedekah. Nescaya akan ada malaikat yang menaungi kita dan berdoa kepada Allah agar digantikan kembali apa yang telah kita sedekahkan. Insyallah.
Seperkara lagi, daripada tazkirah semasa terawih beberapa hari yang lalu, disebut bahawa ada 2 mata yang kelak tidak akan disambar api neraka.
1. Mata yang berjaga malam untuk beribadat (Qiamulail)
2. Mata yang berjaga malam untuk gerak kerja fisabilillah.
Insyallah. Mari kita berkongsi keindahan Islam.
Putih & Hitam September 8, 2009
Posted by Ahmad Badri Alwi in Hal Ehwal Islam, Masyarakat.add a comment
Assalamualaykum w.b.t. & salam sejahtera,
Saya ke bandar sebentar tadi, ke stesen bas, kedai buku dan bank, kemudiannya disajikan dua peristiwa.
Putih;
Dialog antara seorang pengawal keselamatan di bank & rakannya.
Rakan: Kerja sampai pukul berapa?
Pengawal: Macam biasa, sampai petang.
Rakan: Bulan puasa tak boleh balik awal?
Pengawal: Bulan puasa pun majikan bayar gaji penuh juga.
Rakan: err..
Hitam;
Saya memakir kereta di hadapan sebuah restoran cina. Sewaktu sudah masuk ke kereta dan sedia untuk beredar, saya perasan seseorang yang saya kenali baru sahaja melangkah keluar daripada restoran terbabit, memasuki keretanya lalu beredar.
Kenalan itu mungkin tidak perasan saya, tapi harap-harap beliau bukannya menjamu selera dalam restoran terbabit. Kenalan itu Melayu beragama Islam. Semoga Allah datangkan hidayah & taufik kepadanya.