Nota September 10, 2009
Posted by Ahmad Badri Alwi in Hal Ehwal Islam.trackback
Daripada tazkirah semasa terawih semalam, yang berkisarkan cara-cara membina ketakwaan kepada Allah.
Saya hanya sempat mencatat beberapa cara sahaja.
- Mendenda diri sendiri atas segala kesalahan dan kelalaian. Ini dilakukan untuk mengajar diri agar lebih berwaspada pada masa akan datang agar tidak mengulangi kesalahan dan kelalaian yang sama. Dikisahkan selepas berakhirnya perang tabuk, Allah S.W.T memerintahkan agar dipulaukan sahabat-sahabat dan mereka yang tidak turut serta dalam perang tersebut sebagai memberi pengajaran megenai kepentingan menyahut seruan berjihad. Lantas mereka yang tidak turut serta dalam perang tersebut berebut-rebut mengunjungi Rasulullah untuk meminta maaf. Mereka juga mengambil keputusan sendiri untuk mengikat diri dalam masjid Nabawi sebagai tanda kekesalan.
- Selain itu, terdapat kisah perkelahian antara dua sahabat, Abu Dzar al-Ghifari dan Bilal bin Rabah yang menyaksikan Abu Dzar telah memaki dan mencela Bilal. Maka Bilal pun datang mengadu kepada Rasulullah perihal Abu Dzar yang mencelanya. Rasulullah pun bertemu Abu Dzar dan menyatakan kekecewaan tentang apa yang telah dilakukan Abu Dzar. Seraya itu, tanpa disuruh oleh Rasulullah atau oleh sesiapun, Abu Dzar lantas berbaring dan meletakkan sebelah mukanya di atas pasir dan berkata, beliau tidak akan bangun selagi Bilal tidak memijak bahagian lain mukanya itu. Abu Dzar berbuat demikian untuk mendenda dirinya dan menghilangkan sifat mencela orang lain.
- Satu kisah lagi yang diceritakan ialah seoarang sahabat yang terlepas solat berjemaah di masjid. Akibat kekesalannya, beliau pulang ke rumah dan bersembahyang sebanyak 27 kali untuk menghukum dirinya yang lalai untuk solat berjemaah.
- Bermuhasabah diri. Ambillah masa untuk bermuhasabah diri tentang apa yang kita lakukan seharian. Pastikan hari esok adalah lebih baik daripada hari ini dan jangan ulangi kesalahan dan kelalaian yang dilakukan hari ini sebaliknya tingkatkan lagi amal kebajikan dan ibadat.
- Mengingati mati. Rutin ini akan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Dengan mengingati mati, kita akan sentiasa mengelakkan diri dari melakukan maksiat dan akan pula berusaha keras untuk menambah ibadat.
Berkenaan topik mengingati mati, diingatkan juga kepada jemaah agar berusaha mengelakkan diri daripada berhutang. Amalan berhutang jelas tidak memerdekakan diri kita. Diceritakan tentang seorang sahabat yang gugur syahid, tetapi kemasukannya ke syurga ditangguhkan kerana sahabat tersebut berhutang. Sahabat berkenaan hanya dapat masuk ke syurga setelah seorang sahabat lain bersetuju untuk menanggung hutangnya.
Selain itu, amalan berhutang juga seringkali dikaitkan dengan riba’. Sistem riba’ yang terhasil dalam sistem kewangan barat diibaratkan sebagai satu cara penjajahan kepada sesebuah negara ataupun individu. Apabila seseorang berhutang, mereka perlu bekerja untuk membayar kembali hutang-hutangnya. Jadi, bila terdapat panggilan jihad yang berkehendakkan individu tersebut membelanjakan harta dan masanya, akan terdapat alasan kerana masanya tidak boleh diganggu lantaran keperluan bekerja untuk membayar hutang, dan hartanya dikedekutkan kerana perkara yang sama.
Oleh itu, sentiasalah berusaha mengelakkan diri daripada berhutang dan berhasratlah untuk menyelesaikan hutang dengan segera.
Insyallah, berkongsilah ilmu walaupun sepotong ayat.
Komentar»
No comments yet — be the first.