SGPV adalah Second Generation Patrol Vessel. Sebelum ini, TLDM telah memperolehi 6 buah Offshore Patrol Vessel yang dibina menerusi projek NGPV (New Generation Patrol Vessel) yang penuh masalah, lambat, dan memakan kos yang amat tinggi. Tidak mengapa kerana itu adalah projek skala besar pertama negara dalam pembinaan kapal tentera laut berteknologi tinggi termasuklah aktiviti pemindahan teknologi.
Walau bagaimanapun, apabila diumumkan tentang projek SGPV termasuk kosnya, terus menjadi bahan bualan utama bagi mereka yang memberi tumpuan terhadap urus tadbir kewangan negara dan pemerhati pertahanan. Ramai yang menyatakan kos RM 1 bilion bagi sebuah kapal yang dicadangkan terlalu tinggi. Selain itu, tidak banyak berita daripada pihak Kementerian Pertahanan yang memberikan input dari segi ketenteraan tentang projek ini melainkan kemungkinan pembahagian kek ekonomi yang luas melalui projek ini. Jangan salahkan rakyat dengan menuduh mereka tidak membaca!
Saya tidak dan belum berhasrat untuk memberi penilaian lebih teknikal berkenaan projek ini. Sebaliknya yang menimbulkan tanda tanya bagi saya, adakah Naval Dockyard telah benar-benar bersedia dan berkemampuan untuk menjalankan projek besar seumpama ini. Adakah Naval Dockyard telah belajar daripada kesilapan dulu yang merugikan, dan adakah Naval Dockyard telah diuji dan teruji untuk memastikan kesilapan dulu tidak lagi berlaku? Ingat, masalah projek NGPV boleh dihindarkan jika tidak berlaku masalah tadbir urus dan perancangan teliti.
Mengapa Kementerian Pertahanan tidak memulakan dengan projek pembinaan sebuah kapal sahaja untuk menguji kemampuan Naval Dockyard? Atau adakah kita mungkin terpaksa sekali lagi melalui kepahitan projek sakit NGPV? TLDM tidak mampu untuk menunggu lama bagi menguatkan armadanya kerana ketidaktentuan konflik yang memerlukan penglibatan flotila TLDM. Adakah perlu lagi langkah terdesak seperti pembangunan BM5?
Majulah armada untuk TLDM.