Rujukan Utama:

Layanan Cukai Ke Atas Kapal Malaysia. Ketetapan Umum No. 10/2012

  1. Panduan ini adalah untuk pelaut Malaysia sahaja.
  2. Bagi pelaut asing yang belayar di atas kapal Malaysia, yang tidak layak menikmati pengecualian cukai, mereka perlu merujuk kepada cukai bagi individu bermastautin / tidak bermastautin.
  3. Di mana / bagaimana nak tengok dan faham dengan mudah berkenaan pengecualian cukai untuk pelaut? Rujuk Perkara No. 5, perenggan ke-2 ketetapan, yang berbunyi;
    1. Seorang pemastautin yang mengendalikan kapal Malaysia yang mempunyai maksud yang sama seperti subseksyen 54A(6) ACP 1967 adalah layak untuk pengecualian cukai dengan syarata bahawa kriteria kelayakan di bawah subseksyen 54A(1) ACP 1967  dipatuhi
    2. Pemastautin yang mengendalikan kapal Malaysia bermaksud PELAUT
  4. Syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk mendapat pengecualian cukai pendapatan, mestilah merujuk kepada subseksyen 54A(1) dan 54A(6) ACP 1967. Syarat-syaratnya diringkaskan seperti berikut;
    1. Syarat sebagai ‘Kapal Malaysia’ yang layak pengecualian cukai (Subseksyen 54A(6) ACP 1967
      1. Didaftarkan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagara 1952 (MSO 1952)
      2. Merupakan sebuah kapal laut
      3. Tidak termasuk dalam ‘klausa pengecualian’
    2. Kapal-kapal yang dimasukkan ke dalam klausa pengecualian adalah seperti berikut;
      1. Ferry
      2. Barge
      3. Tug Boat
      4. Supply Vessel
      5. Crew Boat
      6. Dredger
      7. Fishing Vessel
      8. Kapal lain yang serupa
    3. Dengan klausa ‘kapal lain yang serupa’, kebanyakkan kapal-kapal Offshore Support Vessel (OSV) seperti AHT, AHTS, Workboat, DSV dan sebagainya adalah termasuk dalam klausa pengecualian dan pelaut yang berkhidmat di atas kapal tersebut adalah TIDAK dikecualikan daripada membayar cukai.
  5. Syarat-syarat lain;
    1. Kapal mestilah belayar melepasi had pelabuhan. Sebagai contoh, jika sebuah kapal tanker yang digunakan sebagai Storage Facility, iaitu tidak belayar, dan hanya berlabuh di kawasan labuhan, maka pelaut yang bekerja di atas kapal tersebut adalah TIDAK dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan.
    2. Bagi FPSO. FSO. FSU, FOIS, MODU & MOPU, jika didaftarkan dan ditakrifkan sebagai kapal Malaysia YANG LAYAK, bolehlah mendapat PENGECUALIAN CUKAI.
    3. Pelaut yang bertugas di atas kapal yang beroperasi di tasik, sungai dan di dalam had pelabuhan juga TIDAK layak untuk mendapat pengecualian cukai.
    4. Pelaut yang bertugas di atas kapal cruise/persiaran juga TIDAK layak mendapatkan pengecualian cukai, kerana hanya kapal yang terlibat dalam aktiviti mengangkut kargo dan penumpang sahaja yang layak. Kapal cruise ditakrifkan sebagai kapal yang terlibat dalam riadah dan rekreasi.
    5. Maka, pelaut yang bertugas di atas yacht dan motor-yacht juga TIDAK layak mendapat pengecualian cukai.
    6. Satu lagi syarat adalah hanya penggajian yang dilakukan di atas kapal sahaja yang layak mendapat pengecualian cukai. Ini bermaksud, jika pelaut menjalankan kerja lain semasa sign off, gaji yang diterima di darat adalah tertakluk kepada cukai pendapatan. Sama juga sekiranya pelaut menerima gaji atau elaun semasa sign off, gaji tersebut bukanlah penggajian di atas kapal, dan akan dikenakan cukai. Bagaimanapun, bayaran leave pay adalah sebahagian penggajian di kapal, dan walaupun diterima di darat ketika sign off, leave pay tidak dikenakan cukai.
    7. Bagi pelaut asing yang tidak layak mendapat pengecualian cukai dan bertugas di atas kapal Malaysia kurang daripada 180 hari, mereka akan dikenakan cukai atas kadar rata 25% daripada jumlah gaji. Jika berkihidmat lebih 180 hari, mereka boleh memohon Sijil Pemastautin untuk mendapatkan kadar cukai yang lebih rendah.
    8. Semua pelaut sama ada yang dikenakan atau dikecualikan cukai hendaklah membuka fail cukai pendapatan. Hal ini bagi mengelakkan tuan-tuan dipanggil untuk audit cukai kerana tidak mengisytiharkan pendapatan.
    9. Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL) merupakan salah satu panel dalam pengwujudan Malaysian Shipping Master Plan (MSMP) bagi kluster pelaut. Salah satu perkara yang diperjuangkan adalah pindaan bagi ‘klausa pengecualian’ supaya lebih ramai pelaut mendapat keistimewaan pengecualian cukai pendapat. oleh itu, marilah sama-sama menyokong usaha IKMAL dengan mendaftar sebagai ahli.

p/s: Saya bukan seorang akauntan ataupun agen cukai, segala maklumat yang diberikan adalah penaksiran saya melalui pembacaan ketetapan, ACP 1967 dan pindaan, serta kunjungan ke pejabat LHDN. Segala risiko dan kerugian yang ditanggung akibat penggunaan maklumat di atas adalah di luar tanggungjawab saya. Terima kasih.